Pages

Monday, September 20, 2010

Bumi Dan Permata.

Kalau dulu ramai yang tahu bahawa masyarakat Melayu merupakan jenis yang tahu menilai diri dan tinggi budi dan bahasanya. Mereka menjulang tinggi darjat seseorang melalui tutur kata dan kesopanan. Saling menegur dengan penuh hikmah agar sesuatu yang disampai tertuju ke matlamat seumpama menarik rambut didalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak rosak. Inilah warisan yang dimiliki dari orang tua-tua dulu.
Apakah kerana orang tua dulu berpendidikan tinggi seperti masyarakat Melayu sekarang ? Keseluruhannya tidak. Kalau ada sekadar sekolah atap atau paling kuat darjah 6 Melayu . Tu pun sudah cukup tinggi. Dan kehidupan masa itu walaupun agak mundur dari segi infrastruternya tapi kaya dengan budi bahasa dan hubungan kemasyarakatannya sangat jelekit sekali. Mereka tahu anak siapa dan sedia menegur sebagai pembimbing kearah kebaikan walau pun kadang-kadang kampung yang berlainan dan agak jauh. Anak-anak yang ditegurpun tidak akan ada yang akan maki hamun atau kembali menyumpah dengan kata-kata peduli apa kerana ini cara saya. Betapa mahalnya nilai modal insan yang ada pada masa dulu berbanding dengan sekarang.
Budak -budak dulu diajar menghormati tetamu dan tidak pernah ada yang merengek bila ada tetamu datang. Melangkah depan tetamu jauh sekali. Inilah warisan permata yang pernah kita temui dulu tapi kini permata itu telah hilang ditelang zaman bersama kembalinya atuk dan nenek kita dulu-dulu ke persada kedamaian yang sejati.
Maka Bumi ini sudah kosong dengan permata-permata tersebut. Melayu sudah kehilangan arah dan tujuan. Teman dan lawan sudah tidak kenal lagi. Cacian dan umpatan jadi mainan bibir. Hasutan dan ejekan tersebar jauh ke alam maya hingga merobak hati dan naluri siapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya. Masing-masing memperjuangan indentiti tampa lagi rasa malu untuk melodeh sesuatu yang sepatutnya disembunyikan asalkan maksud tercapai. Terkadang kita sanggup membawa musuh untuk merebahkan saudara sedaging untuk secebis kebendaan sedangkan sesalnya tak sudah-sudah yang kita tanggung. Tapi Melayu tetap berkata inilah perjuangan ...apakah masih akan ada kata -kata " Jebatkah ...benar atau Tuah yang benar " yang akhirnya kita juga yang berkubur diBumi ini .

Friday, July 30, 2010

Piala Dunia Dan Mini Stadium R.Panjang.

Imbauan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan masih lagi panas untuk dijadikan kenang-kenangan . Sebagai Johan Sepanyol begitu megah menjulang piala yang menjadi idaman bagi seluruh pasukan bola sepak dunia. Tiada siapa yang dapat meramal dengan tepat siapa yang akan menjadi juara . Lalu ramai kaki-kaki judi yang lingkup dan mengadah. Lalu aku juga terkesan dengan kisah bola sepak di kampungku Rantau Panjang.
Kalau disebut Pasukan Rantau Panjang memenag terkenal dalam tahun70an dan akhir 80an dulu.
Siapa tak kenal Deraman Che Wook, Syed Kelewang, Cheng Penjaga Gol dan banyak lagi pemain lama yang setengahnya mewakili Kelantan. Masa tu aku masih lagi dibangku sekolah tapi ikut serta bersorak di Mini Stadium Rantau Panjang menjulang nama Pasukan kampung ku. Di Mini Stadium inilah lahirnya pemain-pemain muda yang berbakat serta aktiviti bola sepak antara Jabatan seperti Kastam, Imegresen ,Polis dan sebagainya. Begitu juga aktiviti Pesta KO-Kurukulum sekolah-sekolah sekitar Rantau Panjang. Malah Mini Stadium ini hendak dijadikan daya tarikan untuk kedua negara yang berjiran iaitu Sungai Golok , Thailand sebagai tempat perlawanan persahabatan bola sepak bagi dua negara. Namun apa yang ada hari ini adalah cebisan bekas-bekas Mini Stadium yang diramas hancur oleh tangan-tangan manusia yang meletakkan bangunan MYDIN dan ABASK TRADING serta bangunan lain yang dijual kepada siapa-siapa saja yang ada duit untuk membelinya. Tiada siapa pun yang peduli dengan Mini Stadium yang suatu ketika dulu menjulang sejarah Rantau Panjang sebuah pasukan yang digeruni termasuk Pasukan MIZADOS P.Mas serta pasukan bola sepak lain di daerah ini. Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana sebuah padang bola dan tempat permaianan awam boleh dijual beli semudah itu. Kini semua orang sudah lupa mengenai Mini Stadium Rantau Panjang sebagai mana kita lupa sejarah Kota Cardoba yang pernah dibina oleh empayar Islam suatu ketika dulu. Cuma yang kita sorak ialah Sepanyol menang Piala Dunia.... dan jika anda sampai ke Rantau Panjang anda akan lihat cebisan sejarah Mini Stadium yang telah hancur diramas lumat lalu dibangunkan Kedai dan Emporium dan Bazzar diatasnya..... tampa siapa memperdulikannya.

Monday, July 26, 2010

Kereta Tolak Hijau.

Jika anda berkunjung ke Pekan Rantau Panjang tentu anda tidak akan terpisah dengan kedai Kereta Tolak Hijau yang terdapat barangan yang di gantung oleh peraiah atau peniaga disini.
Pemandangan seperti ini sudah menjadi biasa dan tentunya ianya menjadi salah satu daya tarikan pelancong luar yang datang kemari untuk mendapat barangan yang hendak dibeli lebih murah berbanding dalam pasar biasa mahupun dalam gudang batu yang lebih mewah. Maklumlah mereka terpaksa membayar sewa yang lebih berbanding Kereta Tolak Hijau.
Namum kini setengah dari peniaga ini mula digamik bimbang dan terpaksa berpindah randah kerana tempat yang sedia ada sudah dilarang berniaga oleh MDPM. Maklumat yang diterima tempat tersebut perlu dikosong untuk pembinaan longkang dan jalan baru menuju ke projek Pasar Bertingkat yang sedang giat dalam pembinaannya. Setakat ini longkang dan jalan yang diwar-warkan mahu dibinakan belum dimulakan lagi. Tapi yang pasti peniaga kereta tolak hijau sudah berpindah hampir dua minggu lalu dan merempat ditempat yang agak terpencil dari laluan orang ramai. Bila permasalahan di majukan kepada pihak yang berkenaan maka jawapan yang diberikan tiada lagi kawasan yang hendak ditempatkan kereta tolak hijau atau dalam lain perkataan tiada Bumi lagi mahu ditetakkan. Peniaga kereta tolak hijau merenung jauh dengan linangan airmata. Sesuap nasi perlu dihulurkan pada anak yang masih bersekolah disamping duit siling harian. Matanya mendongak kepada bangunan Bazaar Abdul Rahman Bin Auf dan bangunan tiga tingkat milik......( ? ) yang sudah hampir siap dengan harga RM 500.000.000. satu itu. Maka hatinya berkata jika itu jadi milik ku ....jika itu jadi milikku....bersama sesak nafas yang keluar masuk untuk survival hidup.

Saturday, July 24, 2010

Basar Kuda Dan Airmata

Masih ku ingat lagi 5 tahun yang lalu bagaimana kesedihan yang pernah dirasai oleh peniaga-peniaga Basar Kuda yang telah diroboh tempat mereka berniaga dan mencari makan. Asalnya tapak yang dibina itu adalah atas usaha mereka dengan keizinan pihak yang berkuasa. Tapi setelah tapak perniagaan itu mahu digunakan maka Basar Kuda terpaksa dirobohkan tampa diganti dengan tempat lain. Sebelum dirobohkan kerap juga peniaga-peniaga ini merayu hingga sampai ke DO dan pejabat SUK. Malangnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa tanah tersebut adalah milik orang. Dan mereka hanya menumpang untuk mencari sesuap nasi dan terpaksa akur. Lalu dengan sekelip mata jentolak telah meranapkan Basar Kuda. Peniaga ini bagaikan kerengga yang dipecahkan sarang terpaksa mencari tempat dan bucu yang sesuai ditepi-tepi jalan untuk meneruskan survival hidup di samping diburu oleh penguat kuasa Bandaran. Perkara ini bukan berlaku di Penang tapi di Rantau Panjang, Kelantan.Serambi Mekah pekan ku sekarang.
Mungkin juga untuk menyedapkan hati maka label Masjid Pekan Baru Rantau Panjang didirikan diatas tapak robohan Basar Kuda. Kerja pembinaan dijangkakan dibuat oleh Sinaran Pantai Timur Consertium diawal 2005 lalu , tapi hingga ke hari ini kerja buatnya belum pun disentuh. Dan ianya menjadi tanda tanya kepada semua orang disini apakah motif sebenar label tersebut didirikan ?. Kalau dulu bekas tapak robohan Basar Kuda terbiar bertahun-tahun tampa kerja pembinaan masjid yang sebenar tapi kini telah dijadikan tempat parking kereta untuk pelancong yang datang ke Rantau Panjang oleh pihak yang tertentu. Yang putih mata diatas robohan tersebut ialah peniaga- peniaga Basar Kuda yang lampau . Basar Kuda kau mengamit aku kepada zaman kecil ku , disitulah aku bermain layang-layang setelah padi dituai dan kini tapak sawah itu telah bertukar menjadi Pekan Rantau Panjang yang sungguh gah menerima tetamu dari pelusuk negeri yang berkunjung kemari...... inilah realitinya Basar Kuda dan Airmata peniaga yang mengemis bersama kereta sorong hijaunya.........

Saturday, July 17, 2010

Pekan KU Rantau Panjang.

Seperti hari Minggu yang lalu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad maka berduyung-duyung para pelancong yang datang untuk membeli belah di Pekan Rantau Panjang dari berbagai daerah di Malaysia ini. Aku kagum dan berbesar hati pekan ini menjadi sumber ekonomi peniaga Melayu di Kelantan. Itu belum lagi musim cuti sekolah mau pun cuti perayaan penuh sesak dengan kenderaan yang datang dari berbagai arah seperti dari Kedah, Perlis dan Penang dari jalan utara. Begitu juga dari selatan Johor dan sebagainya.
Tentunya para pelancong yang pernah datang kemari akan tertarik dengan barangan yang dijual terutama pakaian yang berjenama standard tapi dijual dengan harga yang lebih murah..... atau barangan seperti periok belaga yang dibawa dari Thailand menjadi pilihan untuk dibeli dan dibawa pulang. Sewaktu mau masuk ke dalam pekan ini aku agak terkilan dengan kenderaan yang begitu banyak dari dahulu hingga sekarang terpaksa beratur dengan jarak yang panjang hingga berkilo meter dan berjam-jam lamanya menunggu kerana kesesakkan jalan. Banyak yang mengadu tentang masalah ini. Tapi kepada siapa ? Tiada siapa yang ambil peduli dalam masalah ini dari dulu hingga sekarang . Kalau adapun pihak polis yang sekali sekala menyumbang bakti atas keiklasan mengawal lalulintas yang kesesakan. Kalau mahu tunggu MDPM bertindak rasanya jauh api dari panggang. Yang ada bina bangunan di tengah-tengah jalan yang dah sempit lagi menyempitkan. Apalagi keadaan parking kereta yang tidak terurus
Masalah kesesakan jalan raya itu tanggung sendiri . Kalau MDPM benar-benar prihatin tentunya sudah ada inisiatif untuk mengatasi masalah yang berlarutan seperti ini dari terus berlarutan. Apa yang dapat ku katakan Rantau Panjang pekan yang hidup dengan survivalnya yang tersendiri .........

Sunday, July 11, 2010

Rantau Panjang Hari Dan Semalam.

Miskipun Rantau Panjang sebuah pekan kecil yang terletak di sempadan Thailand ,tapi ia cukup gah untuk menarik pelancong dalam dan luar negeri. Sebagai pintu masuk dua negara maka semestinyalah ia mempunyai daya tarikan kepada para pelancong untuk bertandang kemari. Berbagai barangan yang terdapat di sini disamping kawasan ini dijadikan kawasan bebas cukai maka setiap hujung minggu ramai pelancong yang datang membeli-belah. Sayangnya kemudahan asas tidak disediakan dengan sempurna oleh pihak yang terbabit untuk menarik lebih ramai pelancong yang datang. Tiada tempat rehat yang disediakan semasa penat membeli belah. Ruang letak kereta kurang kemas. Aliran air semasa hujan tidak disalirkan dengan betul menyebabkan keadaan pekan cukup bercelaru dengan sampah sarap dihanyutkan air yang tidak menentu .Ini amat memalukan pengunjung atau pelancong dari luar. Entah bila sistem peparitan yang kemas hendak dimulakan ..?
Terdapat juga lembu dan biri-biri yang berkeliaran di tengah-tengah bandar. Apatah lagi waktu malam kawasan pasar yang menjadi tumpuan pelancong bertukar menjadi tempat mencari makanannya yang berbaki dari sampah sarap serta sisa buah-buahan buangan. Dan waktu paginya meninggalkan najis yang menjijikan. Inilah Rantau Panjang Pekan KU.......